Genap ini usia 41 hari bapa mertuaku terlantar di katil akibat serangan angin ahmar/strok yang ditanggungnya. Penderitaannya bermula pada waktu maghrib, tanggal 23 Februari 2015 ketika kaki tua itu melangkah kaki ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum solat maghrib.
Hari Pertama (23.02.2015)
Bapa mertuaku ditemui dalam keadaan terduduk, dengan air liur meleleh keluar, ada kesan muntahan di tepinya. Kakinya pula selepas itu menjadi lembik, lembik dan lembik. Tidak boleh berjalan disertai pula selepas itu dengan lumpuh separuh badan.
Seusai kejadian itu, kami anak beranak membawa ayah mertua ke klinik desa berhampiran. Yang ada cumalah `Medical Asistant' dan hasil pemeriksaan memutuskan ayah mertuaku tiada apa-apa dan dibenarkan pulang.
Kami masih risau tetapi menurut cakap `Medical Asistant' tersebut dengan membawa ayah mertuaku pulang. Malam yang dirasakan amat panjang kerana bimbangkan keadaan ayah mertuaku dengan keadaannya yang tidak boleh bercakap, lemah anggota badan seolah-olah lumpuh, air liur dan mengalir keluar. Dalam kebimbangan tersebut kami akhirnya terlelap juga entah pukul berapa.
Aku amat kesiankan keadaan abang iparku yang duduk serumah dengan ayah mertua. Dia sebagai abang sulung, perlu menghadapinya seorang diri kerana 2 lagi adik beradik lelaki yang lain masing-masing berada di Kuala Lumpur. Adik beradik lelaki tersebut ialah suamiku, yang melaporkan diri, mula bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Bukit Aman manakala abang iparku yang kedua, yang sememangnya menetap di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan