Khamis, 21 November 2013

Gulai Tempoyak Ikan Masin Sama Timun

Hari Sabtu kelmarin Cik Mun masak apa yang sentiasa `stanby' dalam peti ais saja. Jumaat sebelumnya Cik Mun cuti kerja, jadi, tak ke pasar lah untuk membeli lauk-pauk pada hari minggu. Cik Mun suka beli barang pasar di Pekan Lenggong kerana anak-anak pada masa tu dijaga oleh pengasuh. (Anak Cik Mun pengasuhnya di Lenggong-Cik Mun duduk di Lawin, Gerik) Kedai yang ada kat kampung tu memang ada, cumanya  malas nak pergi ke kedai bawak anak-anak kerana bermacam-macam ragamnya mereka nanti. Cik Mun nak beli lauk harga seringgit dua, dicapainya nanti mainan yang ntah berapa harganya, itu belum campur dengan makanan ringan yang tak berkhasiat tu...
Ok lah. Melalut pulak bercerita, resepi masakan perak ni seperti berikut:


Bahan-bahannya:

1 ekor ikan masin sederhana besar
5-6 ekor ikan bilis
1 biji timun
5 sudu makan tempoyak
3-5 helai daun kesom
1 batang serai (dititik)
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu makan gula
*1 ulas bawang putih
*2 biji bawang merah
*2-3 biji cili padi (Cik Mun tak letak- tak suka pedas)
*1/2 biji cili besar

Semua bahan bertanda * hendaklah ditumbuk halus


Cara-cara Memasaknya:
  1. Dalam periuk, campurkan semua bahan dan didihkannya hingga timun empuk.
  2. Rasa dan `adjust' apa yang kurang.
  3. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng.

Tips Masak;
Jika tempoyak lama, masamnya akan lebih terasa. Bagi tempoyak baru pula, keasidannya kurang asam keping boleh digunakan untuk memasamkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan