Ahad, 29 Mac 2015

Bagai Dilanda Taufan

 Gambar 1 : `Backyard' yang dah berserabut.

Aktiviti di hujung minggu, menyelongkar segala isi perut tanah kalau-kalau ada yang boleh dimakan. berhasil la juga bila dapat kerjakan pokok ubi kayu ni. 

Gambar 2: Hasilnya....

Dah berpenat lelah, dapat la juga merasa hasilnya. Baik ambil cepat-cepat sementara masih muda. Kalau dah tua, keras tak sedap pulak.
*
*
Nak buat apa ye...???

Sabtu, 28 Mac 2015

Buah Melaka

Gambar 1 : Kalau banyak ni Cik Mun makan sorang pun tak cukup!

Kadang kala, bila teringin nak makan kuih ni kalau bukan bulan puasa kat tempat Cik Mun memang payah nak jumpa. Bayangkan, kalau kita ni sedang mengidam, carik pula tak jumpa.. memang kena tahan kempunan lah jawabnya.

Takpe... toksah nak kempunan sangat. Kita buat je sendiri. Cik Mun masa kecil-kecil dulu `time' bulan puasa mesti kena tolong mak dan kakak-kakak buat kuih ni. Kalau buat pulak tu, mesti sampai sekilo tepung atau mungkin lebih. Dah tu, kalau nak mengentelnya sengsorang berjamlah jawabnya. 

Cik Mun ni jenis yang keluarga besar. Kalau nak beli kuih muih kat Pasar Ramadan tu boleh tapi kalau nak beli banyak mesti mahal. Lagi baik buat sendiri. Puas makan. Boleh makan lagi sampai waktu sahur. He he he...

Kalau sesiapa yang nak cuba buat, resepi dan bahan-bahan seperti di bawah ni...

Bahan-bahan:

250gm Tepung pulut
air secukpnya untuk menguli
2-3 titik pewarna hijau (green apple)
kelapa parut
garam secukupnya
1 keping gula kabung/gula melaka (yang bentuk bukat tu)


Gambar 2 : Adunan yang telah siap dibentuk dan diletakkan inti disusun di atas 
dulang bertabur sedikit tepung.

 Gambar 3: Siapkan dulang sebelum buah melaka masak. Senangkan kerja...

Gambar 4 : Buah melaka yang telah masak akan timbul dalam air mendidih.


Cara-cara memasaknya:
  1. Dalam satu cawan. larutkan pewarna hijau bersama air. Ketepikan.
  2. Potong gula kabung kecil-kecil berbentuk kiub. Ketepikan.
  3. Didihkan air di dalam periuk dan sementara itu bentukkan kuih. Ketepikan.
  4. Sediakan dulang yang telah ditabur dengan sedikit garam. Ketepikan.
                                                           *   *    *
  1. Letakkan tepung pulut di dalam satu bekas. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil mengulinya.
  2. Ambil sedikit dan bulat-bulatkan adunan tepung dan letakkan gula kabung di tengahnya. Susun di atas dulang yang ditabur dengan sedikit tepung (untuk elakkannya melekat dengan dulang).
  3. Masukkan  tepung yang telah dibulatkan ke dalam air mendidih dan tunggu hingga kuih melaka timbul di permukaan air. Itu akan menandakannya telah masak.
  4. Angkat dan letakkan di atas dulang yang ditabur kelapa parut di atasnya. Goyang-goyangkan dulang hingga semua kuih melaka bersalut dengan kelapa tabur tersebut.
  5. Angkat dan hidangkan.
Saiz hidangan : 4 orang makan.

Khamis, 26 Mac 2015

Nasi Sizzling Set

 Gambar 1: Plaing best sebab banyak sayur! Ye ye!


Gambar 2 :Daging ayam dan kuah pun banayak. Ye ye!


Masakan ni Cik Mun buat pada ari Jumaat, minggu yang lepas. Tapi baru hari ni berkesempatan nak `update'kannya dalam blog ni. Masakan yang simple, macam yang ada kat kedai jugak. Tapi boleh nak melantak ikut anak tekak, letak benda kesukaan kita sebanyak mana yang mampu dimakan...(heheeh lepas ni bertambah gemuk la Cik Mun).

Mewah, lazat, kalau beli kat kedai konpem kopak saku. Dulu. harge yang macm gini kalau Cik Mun makan kat Jaya Jusco ipoh, ada lah lebih kurang RM 7.99 kot. Kita ni jenis yang tak kisah kalau mahal, tapi kalau tak puas hati tu la yang masak sendiri ni...

Kalau nak masak, baut-buat rajin macam Cik Mun, resepi dan cara-cara memasaknya seperti di bawah ni ok...


Bahan-bahannya:

10-15 biji cendawan butang kering (rendam dalam air suam bingga kembang - potong 4)
1/2 ekor ayam (potong kecil-kecil)
1 ikiat sayur sawi bunga
1 biji cili benggala
Telur (Gred A)
Minyak secukupnya
3 ulas bawang putih8 (hiris nipis)
1 biji bawang besar* (potong kecil2)
1/2 inci halia*
Lada sulah
2 sudu makan tepung jagung
3 sudu makan kicap cair
1 sudu makan kicap pekat
2 susu makan sos tiram
1 biji kuib ayam (Jenama Knorr/lain pun boleh)
Minyak bijan secukupnya untuk menumis dan mencelur sayur.

Bahan bertanda * ditumbuk halus


Cara-cara Memasaknya;

  1. Dalam satu kuali, masukkan sesudu minyak dan gorengkan telur hancur. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam satu kuali, didihkan air dan masukkan beberapa titik minyak bijan. Celurkan sawi bunga, angkat dan ketepikan.
  3. Dalam kuali, tumiskan semua bahan bertanda * hingga naik baunya.
  4. Masukkan cendawan butang, ayam, lada benggala, air secukupnya sebagai kuah, sos tiram, kicap cair dan kicap pekat.
  5. Bancuhkan tepung jagung dan masukkan ke dalam masakan. Kerap kacau masakan untuk mengelakkan hangit di bawahnya.
  6. Perasakan dengan kiub ayam, lada sulah dan garam secukupnya. Tunggu hingga ayam empuk, angkat dan hidangkan dengan sawi bunga nasi dan telur hancur.
Saiz hidangan : 4 orang makan.


Selasa, 24 Mac 2015

Gambar : Tanah untuk Dijual

Jual-jual jual! Sape berminat nak beli tanah. Butiran seperti di atas....1 ekar RM15k je...hubungi Cik Mun. Cik Mun nak jual tanah ni sebab tanah ni jauh sangat dari tempat tinggal/rumah duduk sekarang ni. Dulu ada tanam getah tapi tak berjaga, so... 2 @ 3 pokok je yang hidup.

Sebab tu nak jual, nak buat modal untuk beli properties yang ada dekat-dekat dengan rumah pulak. Tanah ni berasingan lotnya, pemiliknya sama, Cik Mun juga, 1 nama je, keluasan kira-kira 4.2 ekar dan satu lagi 1.99 ekar. 
 
Siapa cepat dia dapat ok...

Sayur Campur Berdaging

Gambar: Kalau lauk ini saje pun dah cukup!

Perasaan bosan mula melanda diri. Ari ni bos cuti, pembantu Cik Mun pun cuti jugak. Berseorangan lah Cik Mun dalam bilik ni dok mengadap pc sesorang.

Tapi takpe, dek kerana kebosanan ni lah makanya Cik Mun boleh meng`update' blog yang dah lama bersawang ni...`Entry' demi `ennty' berjaya ditulis dan diposkan berdasarkan hari-hari tertentu...Betullah sepertimana yang tertulis, setiap perkara yang terjadi ada hikmah dan kebaikannya di sebaliknya.

Resepi pilihan `entry' hari ni ialah Sayur Campur Berdaging. Comple dah kalau dia je yang nak dimakan dengan nasi panas. Dah cukup dari segi keperluan nutrisinya. Nak tengok masakan yang simple ni, `check it out!'


Bahan-bahannya:

150 gm daging batang pinang (hiris meintang urat)
2 inci caret
1 kuntum brokoli
1/2 biji cili besar (merah)
10 biji kacang pis
2 biji bawang kecil
1 ulas bawang putih
1/2 biji kiub ayam - Maggie / Perasa (Optional)
Garam secukupnya


Cara-cara Memasaknya:
  1.  Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga naik baunya.
  2. Masukkan daging dan goreng kilas sebentar.
  3. Masukkan air, sayur caret, kacang piss, cili besar dan brokoli.
  4.  Tunggu hingga sayur separuh empuk. Masukkan garam dan perasa.
  5. Siap dihidangkan.
Saiz hidangan : 3 orang makan.




Ahad, 22 Mac 2015

Sandwich 3 Segi Sedap

 Gambar 1: Sayur dan sandwich 3 segi kena asingkan...


 Gambar 2 : Kena ikut tekak anak-anak. Sayur tu `sampah' katanya


Gambar 3 : Kalau ada sayur dalam masakan, nanti ibu `kena pecat'! Tapi ibu suka sayur!



Sandwich ni namanya Sandwich 3 Segi. Al kisah nama menu ni diberi oleh anak sulung Cik Mun. Kalau nak jual pakai nama  ni mesti orang tau tau nak agak apa rasanya kan...?

Kalau pepagi minggu, malas nak masak dan malas nak keluar pergi beli sarapan pagi, Cik Mun akan masak yang macam gini je... Simple, sedap dan cepat memasaknya. Dapur pun tak comot.

Kalau iskandar, pagi pun dia boleh melantak sanwich 3 segi ni sanmpai ke petang. Tapi jangan la buat banyak-banyak simpan samapai petang, nanti tak sedap la pula. Lgpun, amalan penyediaan makanan yang baik ialah makanan yang elok dimakan adalah dari mula masak hingga tempoh 4 jam saja. So, kalau untuk keluarga sendiri tu, amalkanlah contoh penyediaan makanan yang baik ni...Insya Allah keluarga sihat walafial je hendaknya...

Kalau nak tengok resepi dan cara membuatnya, seperti di bawah ni...


Bahan-bahnnya:

1 buku Roti Gardenia
Salad (potong kecil)
Bawang besar (potong bulat)
3 biji telur  (Gred A)
Mayonese
Sos Cili
Chese keping ( Cik Mun pakai Jenama Cheesedale)
Serbuk lada putih
Sedikit minyak


Cara-cara Memasaknya;

  1. Dalam kuali, masukkan sedikit minyak (anggaran 1 sudu makan) untuk buat telur hancur. Sentiasa gorengkannya untuk menghancurkan telur tu. Angkat dan ketepikan.
  2. Potong roti bentuk 3 segi. Sapukan dengan sos cili dan mayonese.
  3. Letakkan dengan telur hancur dan lada sulah.
  4. Apitkan dengan cheese, bawang besar dan salad.
  5. Sedia dihidangkan dengan minuman panas...
Saiz hidangan : 4 orang makan.

Jumaat, 20 Mac 2015

Ketam Masak Lemak Kuning Sama Rebung

 Gambar 1 :Tak sempat nak melawa. Snap dalam kuali je lah!

Gambar 2 :Walaupun gambar tak cantik, tetap kena makan sampai habis licin.


Berhujung minggu dengan keluarga sememangnya `best'. Timbul macam-macam idea nak masak. Terutama sekali benda yang susah nak jumpa kat kedai makan. Al-maklumlah, tempat yang Cik Mun duduk ni pekan kecil je... pilihan kedai makan tu tak banyak, menu masakan yang disediakan juga agak terhad. Balik-balik, kedai yang sama je... lauk pauk pun lebih kurang sama je...

Makanya... kalau hujung minggu tu mula lah nak masak yang bukan-bukan ikut selera tekak sendiri... Kali ni Cik Mun buat Masak Lemak Kuning Ketam Sama Rebung. Nak tahu resepi dan cara memasaknya, tengok kat bawah ni...


Bahan-bahannya:

4 ekor ketam / 500 gm (sederhana besar)
1 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam keping
200ml santan pekat
5 helai daun kesom.
1 batang rebung segar/jeruk
1 batang serai *
3 biji cili padi (kalau suka pedas boleh tambah lagi)*
2 biji bawang kecil*
1/4 biji bawang besar*
1 ulas bawang putih* (tak nak letak pun ok...)
Garam secukup rasa.
Perasa (optional)

Bahan yang bertanda * diblender/ditumbuk hingga halus.



Cara-cara memasaknya:

  1. Celurkan rebung dengan air bergaram hingga empuk dan buang airnya. Kalau rebung tu rebung jeruk, tak perlu tambah garam lagi pada air rebusan tu.
  2. Dalam satu kuali, masukkan sedikit air (anggaran 1 cawan), bahan kisar, asam keping, serbuk kunyit dan daun kesom dan tunggu hingga mendidih.
  3. Masukkan ketam, santan, perasa dan garam. Kacau selalu bagi mengelakkan santan bergentel.
  4. Sedia dihidangkan, lagi `best' kalau dapat makan dengan sambal dan ulam-ulaman besera nasi panas....
 Saiz hidangan : 2 orang makan.

Tips : rebung dicelur terlebih dahulu untuk membuang rasa payau pada rebung tu...
 

Rabu, 18 Mac 2015

Natural Peel Of Mask Avon & Hydra Gel Avon

Gambar : Natural Peel Of Mask Avon & Hydra Gel Avon

Ada tak peminat Barangan Avon? Cik Mun ni tak lah minat sangat pada sesuatu jenama. Tapi kalau sesuatu barang tu dah bagus, Insya Allah Cik Mun akan jadi pengguna setia pada barangan tersebut.

`Entry' pada kali ni, Cik Mun akan berkongsi cerita pasal dua (2) barangan yang ada kat atas tu...Pengalaman Cik Mun sendiri yang menggunakannya... berbaloi dengan wang yang dibelanjakan. Kira ok lah tu.. packing yang bentu macam berus gigi tu harganya RM13.90  kalau tak silap. Manakala yang bulat tu pulak RM9.90. 

Tapi antara keduanya, yang paling `best' kesannya, kulit akan jadi lembab dan lembut 2-3 hari adalah Hydra Gel Avon tu...Kena pakai malam, kena  tunggu sampai esok pagi, baru cuci bersihkan muka. Tapi yang jenis ni lambat sikit la nak kering. Lepas tu yang leceh sikit bila muka gatal-gatal sikit masa nak kering tu...(sebab Cik Mun ada resdung kot...).. tapi hasilnya memang puas hati...

Yang tinggi macam ubat gigi tu, senang cara penggunaanya. Sapu pasa malam hari (`Actually' nak pakai waktu bila pun ok je...), tunggu paling kurang 20 minit/hingga `mask' tu kering, cabut /koyakkan je dari muka...

Anak Cik Mun yang dua orang hero tu, masa tengok benda ni ada kat muka terkekek-kekek diaorang gelakkan Cik Mun. Tapi bila Cik Mun buat gaya nangis masa koyakkan `mask' ni dari muka, diaorang boleh nangis pulak. Takut katanya sebab muka ibu terkoyak. Kelakar sangat!

Ok lah. itu saja Cik Mun nak kongsikan. Kepada sesapa yang terkena panas matahari sebab kerja ke.. jalan-jalan pergi shopping ke.. dan bila balik rumah muka dah jadi kering, Cik Mun rekemenkan guna dua barangan yang ada kat atas tu...

`Bye'...

Isnin, 16 Mac 2015

Donut Kentang Rangup Panas-panas

Banyaknye.................. donut ni pakai bedak!

Cik Mun selalu buat Pizza. Tapi tak kan nak makan pizza sampai termuntah kan? Nak uli doh pula (kalau 1/2 kilo tepung) tak berapa pandai nak budget, kalau nak buat 2 dulang pizza je (ukuran 10 inci), ada pulak tepung yang terlebih. Makanya, Cik Mun pun datanglah ideanya nak cuba gunakan `dough' yang sama, buat donut pula. Hasilnya... Alhamdulillah menjadi.. satu piza yang pedas dan satu donut yang manis...

Cik Mun suka donut ni sebab kulit luarnya ianya rangup kalau makan`time' panas-panas. Makan kat luar rumah, `time' petang, angin sepoi-sepoi bahasa. Nak letak coklat sebagai ganti gula pun boleh...Ikut suka tuan punya tekak .

Kalau nak cuba.. resepi ni Cik Mun `copy paste' dari Blog Cik Mun gak.. seperti berikut:


Bahan-bahannya:
  1. 500gm tepung gandum
  2. 2 biji kentang saiz sederhana besar.
  3. 1 sudu makan margerin
  4. 1 sudu makan gula putih*
  5. 1 sudu teh garam*
  6. 1 sudu makan yis/mauripan*
  7. 150ml air suam/susu sejat*
 Semua bahan bertanda * dibancuh bersama-sama dan dibiarkan anggaran 4-8 minit hingga kembang.
 
Cara-cara memasakknya:
  1. Kentang yang dikupas kulitnya direbus hingga empuk dengan secubit garam dan dilenyekkan. Ketepikan.
  2. Semua bahan doh dicampurkan bersama dengan bahan yang dibancuh dan diuli hingga tidak melekit. Jika air susu tidak mencukupi, masukkan air biasa yang agak suam-suam kuku tu.
  3. Rehatkan 45 minit-1 jam hingga doh naik hingga 2 kali ganda dari saiz asal. (Tutup dengan `kitchen towel' bersih yang lembap untuk elakkan bahagian atasnya kering).
  4. Setelah naik 2 kali ganda, buangkan angin dan canaikan untuk diterap bulat dan lubang di tengahnya.  Tunggu lagi hingga lebih kurang 30 minit.
  5. Setelah 30 minit/kembang 2 kali ganda dari saiz asal terapan donut tu, angkat goreng dalam minyak secara tenggelam hingga kekuningan dan masak.
  6. Angkat dan taburkan dengan gula halus/coklat.
Saiz hidangan :  8 orang makan.


Ahad, 15 Mac 2015

Baju Kapas Cap Pagoda VS Baju Kapas Cap Helang

Gambar : Baju Pagoda Cap Helang

Ada sebelum ni `entry' Cik Mun pasal Penyakit Ekzema...Cerita pasal keluarga Husband dan anak-anak yang mengidap sakit ekzema...

Saja nak kongsikan kat sini pasal baju pilihan hati En. `Husbad'. Walaupun semahal mana baju yang Cik Mun belikan untuknya, ataupun seistimewa mana pun baju (baju raya contohnya...) baju ni jugaklah yang menjadi pilihan hati...

Dibuat dari kapas, selesa katanya. Kulit terasa nyaman bila memakainya. Takdelah rasa gatal kulit dan mencetuskan ekzema.

Malangnya, kalau baju jenis ni kurang warna pilihannya. Kalau Baju Pagoda Cap Helang tu ada la yang kaler-kaler. Itu pun terhad pilihannya setakat warna hitam, pitih, merun, biru gelap dan hijau je. Kalau betul-betul baju pagoda tu, hanya terhad kepada warna putih dan hitam sahaja...

Takpelah! jikalau baju ni je yang selesa dipakai, beli tu tetap kena beli juga. Kan ku cari juga walaupun hingga ke lubang cacing...

Sabtu, 14 Mac 2015

Terung Masak Taucoo Pedas

Gambar : Terung masak tausoo pedas kegemaran `husband'ku...

Mesti pening kepala nak masak / pilih jenis sayur yang nak dimasak / dihidang kepada orang yang bukan penggemar sayur kan? Inilah yang dialami oleh suri-suri rumah yang hari-hari masak.. ketandusan idea kadang-kadang nak masak kan? 

Makanya... Cik Mun nak `post' kan masakan berterung ni dalam bog Cik Mun.. (Orang lain pun dah pernah buat la...) selalunya orang buat pejeri.. Apa kata kalau kita `try' pula buat masak taucoo pedas... Kot-kot la siapa yang tak makan terung nak suka hidangan ni... tak cuba tak tahu...

Untuk bahan masakan dan cara memasaknya... lihat di bawah ni ok...


Bahan-bahannya:

1 biji terung (belah dan potong serong)
2 biji bawang merah *
10 - 13 ekor ikan bilis *
1 ulas bawang putih *
1 sudu teh serbuk belacan / sedikit belacan biasa *
1 sudu makan taucoo
2 sudu makan cili kering kisar
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan bertanda * ditumbuk kasar



Cara-cara Memasaknya;


  1. Tumiskan bahan-bahan bertanda * hingga garing / naik baunya
  2. Masukkan taucoo dan cili kisar hingga pecah minyak.
  3. Masukkan terung, garam dan perasa serta air secukupnya sebagai kuah.
  4. Tunggu hingga terung empuk.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan dengan nasi panas dan lauk-lauk lain.
Saiz hidangan : 2 orang makan.

Khamis, 12 Mac 2015

Udang Goreng Simple Sedap Cepat

Masakan yang Simple Senang Sedap

Dah bosan asyik makan ikan je memanjang minggu ni. Tukar selera pulak. Konpem semua orang tahu nak masak.. Tapi Cik Mun nak menyemak juga `post' kat blog ni... Kot-kot ada yang ketandusan idea nak masak ape malam ni...

Walaupun senang, `simple' dan cepat, habis jugak nasi seperiuk. Magis air tangan isteri, ibu dan wanita bekerjaya ni. Ngeh ngeh ngeh...Tapi kena la ada lauk pauk lain jugak kan...

Resepi `simple' gila macam kat bawah ni...


Bahan-bahannya:

500gm udang sederhana besar
1 biji bawang besar
3 biji cili besar merah
2 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukupnya
Perasa (Optional)
Minyak secukupnya untuk menumis


Cara-cara Memasaknya:

  1. Gaulkan udang dengan garam, perasa dan kunyit.
  2. Gorengkan hingga separuh masak (1-2 minit sahaja)
  3. Masukkan bawang dan cili besar. Tunggu hingga bawang layu sedikit.
  4. Angkat dan hidangkan dengan lauk pauk lain dan nasi panas.
Saiz hidangan : 3 orang makan.

Tips masak udang ; Jangan lama sangat menggorengnya atas api. Jika tidak, isi udang akan `overcooked' dan keras bila nak makan...

Selasa, 10 Mac 2015

Tumis Sayur Campur Campak-campak Je...

 Macam-macam ada...

Dah bekerja seharian, balik nak rasa makanan yang ada air tangan isteri juga. Itulah perangai  `Mr. Husband'. Cik Mun ni pula memandangkan tadi ada `meeting', tak sempat nak ke pasar beli lauk keperluan. Makanya, masakan yang `simple' ialah campak je semua benda berbaki yang ada kat dalam peti ais tu.. jadi je la Tumis Sayur Campur Campak-campak Je ni...

Hidangan ni pun dah kira `complete' sebab lengkap dengan sayur, ayam dan isi ikan.. kira orait la kan? Lepas ni, masak nasi je... hahaha....

Resepi dan bahan-bahan macam kat bawah ni...


Bahan-bahan:

1/2 batang `fish cake'
100gm dada ayam 
2 batang  kacang buncis
2 kuntum bunga kobis
1 inci carot
1 biji kentang (kecil je...)
1 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
Minyak secukupnya untuk Menumis
Perasa (Optional)


Cara Memasaknya:
  1. Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga naik baunya.
  2. Masukkan karet, kentang dan kacang pin. Tunggu hingga semuanya empuk.
  3. Masukkan `fish cake' dan ayam. Perasakan dengan perasa dan garam.
  4. Angkat dan hidangkan dengan nasi panas.

Saiz hidangan : 2 Orang makan.