Jumaat, 29 November 2013

Puding Stevea Manggo

 `Enty' kali ni Cik Mun buat menyihatkan. Cik Mun buat Puding Stevea Manggo. Sebenarnya runsing tengok pokok stevea yang Cik Mun beli tu daunnya banyak sangat. Dah dicantas, disemai ke pasu yang baru. rasa sayang la pulak nak buang daun-daun yang dicantas tu. Maka, terhasil lah idea nak buat resepi Puding Stevia manggo ni. Amat sesuailah resepi ni  kepada sesiapa yang ada kencing manis dan darah tinggi untuk nak turunkan parsa bacaan penyakit. Stevia digunakan sebagai pemanis dan tiada gula dan kolestrol langsung. kemanisan stevia juga adalah 15-20 kali ganda berbanding gula biasa. lagi info lebih boleh baca kat http://tip-untuk-semua.blogspot.com/2009/11/pokok-stevia-pokok-gula.html . Menakjubkan sangat Cik Mun rasa ciptaan Allah untuk tumbuhan yang satu ni. Tapi kalau makan benda yang ada stevia ni, ada rasa kelat sikit. Biasa la, benda baik untuk kesihatan. Bak kata pepatah, madu tu racun, pahit tu penawar... Membebel lebih pulak Cik Mun ni. Ok lah, kalau nak cuba, resepi adalah seperti di bawah.


Bahan-bahannya:

Segenggam daun stevia - (blender dengan 1 cawan air)
4 sudu makan tepung beras
4 sudu makan pati santan
3 cawan air
Secubit garam
4 sudu makan manggo/mempelam manis (potong dadu)
Hiasan : 
Daun stevia



Cara memasaknya:
  1. Blender hingga halus daun stevia .Ketepikan.(Cik Mun tak tapis sebab nak seratnya-baik untuk lawas usus).
  2. Dalam satu kuali, satukan tepung,  3 cawan  air, air daun stevia, garam dan pati santan. Kacau sentiasa hingga sebati dan tepung kembang sepenuhnya dengan menggunakan api sederhana.
  3. Dalam satu bekas yang lain, taburkan manggo dan diikuti dengan adunan tepung yang dimasak.
  4. Kukus selama 40 minit dengan api kecil. (Cik Mun menggunakan Pemanggang Ajaib Ikan- kaedah kukus- Tapi bagi anda yang nak guna kukus biasa pun boleh dan masa bergantung kepada ketebalan adunan)
  5. Setelah agak sejuk, masukkan dalam peti ais tempat biasa/sayur.
  6. Saiz hidangan adalah untuk 3 orang.

Ini gambar sebenar yang Cik Mun makan. Nak manis lagi Cik Mun makan dengan air gula perang. Tapi tak lah manis sangat... Hu ha hah ha... Tak jujur betul Cik Mun sebab tambah gula proses lagi... (Takpe.. sebab Cik Mun takde penyakit kencing manis...)


Tambahan:
Untuk air gula perang: 

Cik Mun gunakan 4 camca gula dan 1/2 cawan air. Masak hingga mendidih di atas api sederhana. Lepas tu siram je ke atas puding sebelum dinikmati.

p/s: Jangan terkejut kalau lepas dah lama makan pun kita akan rasa manis di lidah. Ini kerana daun stevia memang akan memberikan rasa yang hebat pada tunas rasa.



Khamis, 28 November 2013

Ikan Masin Sweet Sour Pedas


Bahan-bahannya:

1 ekor Ikan masin isi sederhana besar (ada tulang sikit-sikit)
2 biji cili besar

1 biji bawang besar
Asam jawa secukupnya
sedikit perasa Ajinomoto
Minyak untuk menggoreng


Cara Memasaknya:

  1. Ikan masin direndam dan ditukar airnya 2-3 kali bagi membuang masin.
  2. Ikan masin digoreng, ketepikan.
  3. Menggunakan minyak yang sama, goreng bawang besar (dipotong bulat) dan cili besar (dipotong serong) hingga kelayuan. Masukkan ikan masin, perahan air asam jawa dan perasa ajinomoto.
  4. Rasa dan tambahkan apa yang perlu. Tapi jangan ditambah garam kerana setelah lama dibiarkan, rasa masin sendiri akan diterbitkan oleh ikan masin.
  5. Angkat dan hidangkan bersama dengan nai panas dan ulam-ulaman segar.
  6. Saiz hidangan untuk 4 orang.

Cara terbaik masak:
Gunakan api kecil dan masak lama sedikit dengan api kecil hingga ikan masin habis mengeluarkan masinnya. Setelah itu, barulah adjust rasa masam asam jawa.

Rabu, 27 November 2013

Ikan Masak Kicap Sweet Sour

Tergesa-gesa balik dari kerja, buka petri ais ada ikan goreng yang tak habis semalam dalam peti sejuk. Cik Mun sengaja masak ikan goreng lebih pada malam ahad dan simpan untuk masak pada hari isnin. Teringat juga dah lama rasanya tak buat ikan Ikan Masak Kicap Sweet Sour. Rasa berserat, masam dan manis daripada buah tomato, manis dari gula... memang umpph. Sudahnya, ikan 3 ekor tak cukup untuk sekeluarga. 2 orang anak dan ibu makan pun dah habis. En. Husben pulak, kena goreng taufu petak dan isi ikan je. Nasib baiklah kuahnya Cik Mun buat banyak. Boleh la tumpang makan jugak. Toksah kita cerita banyak-banyak, resepi seperti di bawah...


Bahan A

3 ekor ikan kembong
1 biji buah tomato kecil
3 sudu minyak untuk menumis
Garam dan sam jawa secukupnya


Bahan B

4 sudu besar kicap pekat
1/2 sudu makan sos tiram
1/2 sudu makan gula putih
1/2 sudu makan gula merah/perang (takde pun xpe)

Bahan C
Tumbuk/kisar halus semuanya

3 biji cili kering (boleh tambah jika suka pedas)
2 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
1/2 biji bawang besar

Cara-cara memasaknya:
  1. Gorengkan ikan tetap jangan garing sangat, ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan semua bahan tumbuk/blender hingga pecah minyak dan naik baunya.
  3. Masukkan ikan dan buah tomato yang dibelah 4.
  4. Perasakan dengan asam jawa dan garam.
  5. Angkat dan hidangkan dengan nasi panas.
Saiz hidangan adalah untuk 3 orang.

Selasa, 26 November 2013

Bunga apa ni?

Bunga apa ni?


Ada kat tepi pondok buruk Cik Mun. Tinggi pokoknya melebihi paras pinggang.
Cik Mun dengar orang tua-tua cakap poko ni banyak khasiatnya dari segi perubatan tradisional. atak pa... Cik Mun nak tanya pakcik google je la..

Isnin, 25 November 2013

Bendi Goreng Belacan


 Cik Mun ke Pasar Lenggong dengan penuh bersemangat kelmarin. Tengok orang sayur beli bendi Cik Mun pun beli jugak. Hajat dihati nak buat kari ikan dicampur bendi-lah kononnya. Tapi bila tengah hari Cik Mun makan kat kantin pejabat, makan kari jugak. Tak kan lah malam pun nak masak bendi jugak. Memandangkan bendi sahaja yang dibeli sebagai sayur pada hari tu, Cik Mun pun menggodek peti ais. Rupanya godekan tu berhasil bila ternampak ikan bilis, cili besar. Apa lagi...terfikirlah resepi yang ntah apa-apa ni. Tapi percayalah! Seeee...dap...! En. Husben cakap Nak lagi!  Resepi seperti di bawah.


Bahan-bahan

8-10 biji kacang bendi
1 biji cili besar
*Ikan bilis
* 1 sudu teh belacan
* 6 biji cili padi (boleh diadjust ikut kepedasan dikehendaki)
* 1 ulas Bawang putih
* 2 ulas bawang merah
3 sudu besar minyak untuk menumis
Garam dan air asam jawa secukup rasa.

* Semua bahan ditumbuk. Tak perlu lumat sangat.


Cara memasaknya

  1. Tumiskan semua bahan tumbuk hingga naik baunya. 
  2. Masukkan bendi, cili besar, garam dan air asam jawa secukupnya.
  3. Sedia dihidangkan.
Cik Mun sukakan kerangupan bendi ni bila ianya dimakan. Tapi kepada sesiapa yang sukakan bendi yang lembut dan berair sedikit, maka boleh tambahkan air sebagai kuah sebanyak mana yang disukai...
Selamat mencuba...


Sabtu, 23 November 2013

Pulut Tanak Pengat Durian

Cik Mun dan En. Husben memang peminat durian. Tapi bagi Cik Mun sendiri, durian yang nak dimakan ni kena masak dulu. Bukannya apa mungkin Cik Mun tak tahan dengan gas dari durian segar, kalau makan yang segar (dan baru jatuh dari pokok) Cik Mun memang tak ingat dunia, lepas tu mesti akan sakit perut sampai menggigil dan berpeluh tak boleh tidur malam. Bila makan durian pengat ok pulak. Bijinya durian ni  memang Cik Mun tak buang dan letak sekali dalam pengat durian kerana ianya menyumbangkan `sentimental value' dan seni. Bila makan nampak biji durian, `feel' je.... Pulut pula, tanak lembik sikit. Ah.. sesuai sangat dengan bapak mentua Cik Mun yang memang kurang giginya. Dia sangat suka...


Menggoda tak masakan ni?
kalau nak cuba, resepi seperti di bawah.


Bahan-bahannya:

5-8 ulas durian
1 cawan pati santan
3 sudu makan gula putih
2 sudu tepung gandum
1 helai daun pandan (Cik Mun tak letak - kerana nak kekalkan bau durian saja)
Secubit garam
Air 2 cawan


Cara Memasaknya:
  1.  Dalam satu periuk, campurkan semua bahan kecuali santan. Tunggu hingga air menggelegak dan isi durian sedikit tertangal dan akhir sekali masukkan santan.
  2. Masukkan santan dan kacau sentiasa. Gunakan api kecil supaya tidak pecah minyak.
  3. Angkat dan hidangkan bersama dengan pulut/roti.

Resepi Pulut Tanak

Bahan-bahannya:

1 cawan beras pulut
1/2 sudu teh garam
2-3 titik minyak masak
1 cawan air


Cara Memasaknya:
  1. Basuh beras pulut 3 kali.
  2. masukkan air, minyak dan garam.
  3. Masak dalam rice cooker.

Tips Masakan:
  1. Minyak akan mengurangkan lekatnya pulut kepada sudip ketika kita mengambil pulut nanti.
  2. Kalau nak best lagi, simpan pengat ni dalam peti ais. Balik kerja je, cincah pengat dengan roti gardenia. Memang `best' macam cincah aiskrim je...




Jumaat, 22 November 2013

Kek Coklat Pisang Bersalji

 Terasa nak makan kek coklat tapi dah muak sangat sebab selalu buat. Ternampak ada pisang sebiji yang tertinggal. Tapi sikit sangat. Kalau dibiar dan nampak dek Iskandar dan Iman, mesti berebut-rebut budak tu. Benda yang satu memang akan bawak masalah kepada mereka. Dengki punya pasal. Cik Mun pun mula lah bereksperiman, nak buat kek pisang bercoklat lah. Rasanya boleh tahan. Rasa coklat yang muak, dineutralkan oleh rasa masam sikit oleh pisang tu. Lagi laju le Cik Mun makan. Mana tak nye badan tembun semacam. Nak buat macam mana kalau dah sedap dengan tekak. Resepi seperti dibawah kalau nak cuba....

Bahan A

4 sudu makan serbuk coklat
4 sudu makan tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder

Bahan B
2 sudu makan pisang (Pisang berangan/sebarang pisang dilenyek hancur)
2 sudu makan gula pasir halus
1/2 sudu teh garam
2 sudu makan susu pekat
1 bii telur gred A 


Cara-cara memasaknya
  1. Campur semua bahan A dan sebatikan. Ketepikan.
  2. Pukul telur hingga kembang (Cik Mun gunakan garpu sahaja) bersama dengan gula dan garam. 
  3. Setelah kembang, masukkan  susu pekat.
  4. Campurkan kesemua bahan A dan bahan B dan tuang ke dalam aduan.
  5. Kukus selama 10 minit. 

Masa mengukus adalah berbeza mengikut ketebalan adunan yang dituangkan. Cik Mun menggunakan bekas acuan bagi mengekalkan `paper cup' yang dikukus agar cantik bentuknya walaupun setelah dimasak. Nak kukus pulak Cik Mun gunakan pemanggang ajaib. Letak air sikit kat dalam tu, dah terus je dari pemanggang jadi pengukus. Ajaibs ebijik macam namanya. Untung beli....(bukan promo...) Tapi apa salanya jika untuk kebaikan semua. Sekadar berkongsi...


Kat bawah ni ada gambaran bagi nak isi peper cup. Cukup setakat 3/4 bahagian sahaja. kalau lebih-lebih nanti over mengembang pulak jadinya...

Khamis, 21 November 2013

Gulai Tempoyak Ikan Masin Sama Timun

Hari Sabtu kelmarin Cik Mun masak apa yang sentiasa `stanby' dalam peti ais saja. Jumaat sebelumnya Cik Mun cuti kerja, jadi, tak ke pasar lah untuk membeli lauk-pauk pada hari minggu. Cik Mun suka beli barang pasar di Pekan Lenggong kerana anak-anak pada masa tu dijaga oleh pengasuh. (Anak Cik Mun pengasuhnya di Lenggong-Cik Mun duduk di Lawin, Gerik) Kedai yang ada kat kampung tu memang ada, cumanya  malas nak pergi ke kedai bawak anak-anak kerana bermacam-macam ragamnya mereka nanti. Cik Mun nak beli lauk harga seringgit dua, dicapainya nanti mainan yang ntah berapa harganya, itu belum campur dengan makanan ringan yang tak berkhasiat tu...
Ok lah. Melalut pulak bercerita, resepi masakan perak ni seperti berikut:


Bahan-bahannya:

1 ekor ikan masin sederhana besar
5-6 ekor ikan bilis
1 biji timun
5 sudu makan tempoyak
3-5 helai daun kesom
1 batang serai (dititik)
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu makan gula
*1 ulas bawang putih
*2 biji bawang merah
*2-3 biji cili padi (Cik Mun tak letak- tak suka pedas)
*1/2 biji cili besar

Semua bahan bertanda * hendaklah ditumbuk halus


Cara-cara Memasaknya:
  1. Dalam periuk, campurkan semua bahan dan didihkannya hingga timun empuk.
  2. Rasa dan `adjust' apa yang kurang.
  3. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng.

Tips Masak;
Jika tempoyak lama, masamnya akan lebih terasa. Bagi tempoyak baru pula, keasidannya kurang asam keping boleh digunakan untuk memasamkannya.

Rabu, 20 November 2013

Puding Roti Bersantan


Ada lebihan roti yang tak dimakan. Atau... mungkin roti tu hampir nak `expired' . Tak tahu nak buat apa? Kalau Cik Mun, roti tu akan dibuat Puding Roti. Jangkahayat roti akan bertambah. Nak kelainan, Cik Mun tambahkan santan memandangkan masa menggodek peti ais, susu takada, 'so', guna santan pun kira ok lah asalkan terasa lemak manisnya. Gula dalam resepi ni Cik Mun memang kurangkan kerana hiasan kismis akan sumbangkan rasa manis lagi. Yang lain tu Cik Mun adjust ikut apa yang ada. Resepi seperti di bawah ni kalau nak cuba...


Bahan A

2 sudu makan minyak masak
2 keping roti gardenia - potong kiub (Mun guna roti yang berserat)
6 sudu makan pati santan


Bahan B

2 biji telur gred A
2 sudu makan gula putih (halus)- boleh tambah kalau suka lebih manis


Bahan C -
2 sudu makan serbuk coklat
2 sudu makan tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder



Hiasan
- 2 sudu makan kismis kecil


Cara-cara memasaknya:

  1. Campur dan gaul sebati semua bahan C dan ketepikan.
  2. Pukul semua hingga kembang bahan B, ketepikan.
  3. Dalam satu mangkuk yang berasingan, campurkan semua bahan A, B dan C. Biarkan seketika (lebih kurang 5 minit)  bagi roti menyerap semua cecair daripada santan.
  4. Kukus selama 10 minit. (Masa kukus bergantung kepada ketebalan/besarnya bekas yang digunakan).
Cik Mun isikan dalam bekas `cute' ni la. Bekas ni tahan dan boleh digunakan dalam tempat kukus dan microvave. Lepas dah masak boleh keluarkan puding roti sebelum dihidang.


Inilah rupanya puding roti setelah dikeluarkan daripada 
bekas `cute' tu..


*Tips:
  1. Cik Mun menggunakan Pemanggang Ajaib Ikan. Masa mengukus lebih singkat kerana tekanan tinggi yang dihasilkan. Api yang digunakan juga adalah api yang kecil. Jimat menggunakannya tapi kerana saiznya yang kecil, Cik Mun selalu buat anggaran 6-12 biji `tuppaware' yang comel untuk  keluarga Cik Mun. Tapi dengan resepi ni, hanya akan dapat 6 bekas je.

Isnin, 18 November 2013

Puding Sejuk Oreo


Sedapnya makan Puding Sejuk Oreo ni tatkala balik dari kerja, dengan rasa yang kelaparan dan kehausan. Cik Mun memang selalu prepare benda-benda cam gini dalam peti sejuk. Balik kerja, sementara nak masak, makan puding dulu. Hahaha.. terbalik kot. Orang makan puding lepas makan. Tak apa lah, ni perut Cik Mun. Jangan sakit sudah lah. kepada sesiapa yang nak mencuba resepi simple tapi sedap ni. Anak-anak pun cakap sedap macam aiskrim katanya. Kalau nak cuba, resepi seperti di bawah.


Bahan-bahannya:

2 camca besar serbuk coklat
1 camca besar susu pekat
1 camca besar gula putih
1/2 paket sebuk agar-agar (5.5 gram)
1 cawan air
1/4 sudu teh garam


Cara memasaknya:

  1. Didihkan semua bahan hingga agar-agar sempurna larut.
  2. Rasa bahan masakan. Jika kurang, boleh adjust manisnya. (Cik Mun suka manis-manis buah sahaja)
  3. Tuangkan ke dalam bekas acuan, tunggu hingga suam.
  4. Taburkan biskut oreo yang diramas kasar.
  5. Setelah sejuk sedikit, masukkan ke dalam peti ais sebelum dinikmati.
Saiz hidangan untuk 2 orang.





Kaduk Naik Junjung

Bak pepatah lama melayu ada yang mengatakan.. Jangan jadi kaduk naik junjung. Tapi bagi Cik Mun dalam kes ni lagi Cik Mun suka. Banyak la Cik Mun boleh makan ulam kaduk kalau sampai ke junjung naiknya. Ulam ni Cik Mun petik dari belakang rumah je. Tanah untuk berkebun ulam-ulaman ni tak lah sebesar mana, tapi cukup untuk keluarga Cik Mun.


 Secekak pucuk kaduk yang telah disiang.


Wajah kaduk yang telah direbus. Rebus kejap je tau, 
lebih kurang 30 saat dalam air menggelegak.



Sambal belacan sebagai Air cincahnya.

Yang rebus-rebus tu Cik Mun `confirm' semua orang tahu. Tapi kalu nak buat air cincahnya, macam biasa la...Rupa sambal belacan yang Cik Mun buat cam gini...



Bahan-bahan:
Semua bahan-bahan ni ditumbuk
  1. Cili padi 3 biji (Kalau nak pedas boleh tambah lagi)
  2. 8-10 ekor ikan bilis
  3. 1/2 sudu teh belacan
  4. 1/2 sudu teh garam
  5. Perasa ajinomoto (Cik Mun tak letak sebab ikan bilis dah manis)
  6. 1/2 sudu teh gula 
Jika ada yang terkurang, bolehlah adjust rasanya.Saiz hidangan untuk 2 orang.



Makan pulak dengan ikan masin kedera + ikan temenung goreng...nyum nyum nyum...


Jumaat, 15 November 2013

Kerabu Salad Lemak Manis


Terasa penat jika balik dan nak masak lauk pauk yang berbagai renyahnya. Cukup sekadar ulam salad dan ikan goreng saja. tapi mesti boring kalau salad tu takde apa-apa sentihan `magis' nya. Cik Mun cadang petang ni nak buat Kerabu Salad Lemak Manis. Resepi dan bahan-bahanya adalah seperti berikut:


Bahan-bahannya:

1 cekak salad

2 ulas bawang merah (racik halus)
3-5 helai daun kesom (racik halus)
1 biji air perahan asam limau nipis
1 cekak kelapa parut **
5-7 biji cili padi (jika nak pedas boleh tambah lagi)*

1 sudu teh belacan*
1 sudu teh garam*
5-8 ekor ikan bilis*


Semua bahan bertanda *  hendaklah ditumbuk halus.
Bahan bertanda ** ditumbuk sedikit sahaja / tumbuk main-main sekadar malayukannya.


Cara-cara membuatnya:

  1. Hiriskan secara kasar daun salad.
  2. Masukkan semua bahan hirisan dan bahan yang diracik halus dengan bahan yang ditumbuk halus(*) dan bahan yang ditumbuk main-main itu (**) .
  3. Adjust rasanya dengan menambah apa-apa yang kurang seperti gula dan garam.
  4. Sedia dihidangkan.
Saiz hidangan untuk 3 orang.

Close -up sikit!
Cuba lah!


Rabu, 13 November 2013

Gigi Oh Gigi...

Garbar gigi ni Cik Mun ambil dari pakcik Google...


Pernah tak korang sait gigi sampai bertahun...? Tak dapat tidur malam.. tak dapat menikmati makanan kegemaran, nak masak pun rasa malas, hinggakan blog Cik Mun ni berlapuk-lapuk tak di -update sebab Cik Mun dah tak masak sebab sakit gigi punya hal... Cik Mundah rasainya. Disebabkan takut nak berjumpa dengan doktor gigi, sanggup menahan sakit hingga bertahun-tahun. Turun berat badan dan hidup pun tak bersemangat.

Bayangkan, kali terakhir Cik Mun berjumpa dengan doktor gigi adalah pada Thun 2009. Itu pu kerana terpaksa. Gigi yang dirawat pada masa tu tak sakit pun, tetapi disebabkan terpaksa. Ceritanya, semasa lawatan bulanan ke klinik semasa Cik Mun mengandung anak sulung, ada pulak doktor gigi yang terjah semasa Cik Mun tunggu giliran nak jumpa doktor mengandung tu, makanya kena la pergi buat rawatan gigi yang berlubang. Dalam keterpaksaan dan ketakutan Cik Mun pun pergi ke doktor gigi sebab tak nak kena marah bila lawatan bulanan ke klinik mengandung yang seterusnya.

Tapi cerita yang Cik Mun nak kongsikan sekarang ni bukanlah pasal tampal gigi tahun 2009 tu. Yang sebenarnya, Cik Mun nak kongsikan tentang sakit gigi terbaru yang memaksa Cik Mun jumpa doktor pada 13.11.2013 yang lepas.

Asalnya yang Cik Mun sedar, gigi Cik Mun ni cuma ada 2 lubang yang perlu ditampal. Satu lubang sakit tapi dah baik, manakala yang satu lagi pulak berlubang tapi tak sakit, cuma rasa ngilu/sensitif. Kebetulan pula masa kejadian sakit gigi tu Cik Mun dah di waktu hujung-hujung bulan, tengah kering dan pokai. Untunglah En. Suami sanggup bayarkan bil. walaupun ke klinik swasta. Cik Mun pun pergilah mendapatkan rawatan.

Rawatan yang dijalankan adalah cuci gigi (RM100), tampal 2 lubang  (RM140) dan ubat-ubatan (RM40). Semuanya berjumlah RM280. Semasa cuci gigi, Cik Mun dimaklumkan oleh doktor bahawa ada 5 lubang yang perlu ditampal. Terkejut mendengarnya keranan apa yang Cik Mun nampak hanyalah 2 lubang sahaja.

Tapi setelah diteliti, benarlah seperti yang dikatakan doktor tu, kalau dah cuci gigi, barulah kita akan tahu lubang-lubang kecil di gigi kita, yang walaupun sebesar jarum ianya berpotensi untuk mengumpul semua plak, yang akan menukarkan makanan kepada asid yang sikit demi sedikit menghakis enamel keras gigi, seterusnya menjadi penyumbang besar kepada karies (lubang), karies pula akan mendorong kepada pereputan gigi dan ianya akan membuat gigi kita hilang.

Alangkah sayangnya... kalau kita yang muda-muda ni dah kehilangan gigi. Ketahuilah wahai pembaca yang membaca ini, memberus gigi sahaja tidak mencukupi tetapi pemeriksaan setiap 6 bulan sekurang-kurangnya amat penting bagi mengetahu jika ada kerosakan gigi. Beringatlah! Jagalah gigi. Mencegah kerosakan gigi adalah lebih mudah dan murah berbanding merawatnya.

Selamat menjaga gigi...

Khamis, 7 November 2013

Pizza Ros Mini Yang Comel

Dah lama Cik Mun tak update blog ni. Bukannya malas. Tetapi kurang bersemangat. Sebabnya talian internet di tempat Cik Mun `teramatlah lajunye...'. Itulah nasib penghuni yang berada di daerah pedalaman... Apapun, Cik Mun nak tunjukkan resepi pizza ros yang Cik Mun buat ni. Sedap dimakan sebagai `supper'. Tapi sebelum tengok resepinya, tu kita zoom in gambar pizza ros Cik Mun dulu ye...

Buat makan pada waktu malam. Ataupun kalau nak pergi kerja, senang nak bawak dan letak kat dalam bekal.Anak Cik Mun yang alergik pada benda-benda gatal pun boleh makan sebabnya Cik Mun tak guna telur dalam resepi ni.
Bahan-bahannya membuat doh:
  1. 250 gm tepung gandum
  2. 2 biji kentng saiz sederhana besar.
  3. 1 sudu makan margerin
  4. 1 sudu makan gula putih*
  5. 1 sudu teh garam*
  6. 1 sudu makan yis/mauripan*
  7. 40 ml air suam*
 Semua bahan bertanda * dibancuh bersama-sama dan dibiarkan anggaran 4-8 minit hingga kembang.
Cara-cara memasakknya:
  1. Kentang yang dikupas kulitnya direbus hingga empuk dengan secubit garam dan dilenyekkan. Ketepikan.
  2. Semua bahan doh dicampurkan bersama dengan bahan yang dibancuh dan diuli hingga tidak melekit. Jika air susu tidak mencukupi, masukkan air biasa yang agak suam-suam kuku tu.
  3. Rehatkan 45 minit-1 jam hingga doh naik hingga 2 kali ganda dari saiz asal. (Tutup dengan `kitchen towel' bersih yang lembap untuk elakkan bahagian atasnya kering).
  4. Setelah naik 2 kali ganda, buangkan angin dan bentukkan di dalam bekas pembakar. Cik Mun bulat-bulatkannya kecil-kecil agar mudah dipanggang dalam pemangang ajaib ikan. Tunggu lagi hingga lebih kurang 30 minit.
  5. Setelah 30 minit, buangkan angin dengan mencucuk doh yang dibentuk kecil-kecil itu dengan garpu agar doh yang dibentuk tidak mengelembung semasa membakar.
  6. Angkat dan sapukan mayonese dan sos cili ke atas doh. Susun `hot dog' sebanyak mana yang disukai. dan sudahi dengan taburan lada hitam
  7. Bakar gunakan api kecil selama 10 minit. (Cik Mun menggunakan pemanngang ajaib). Jika gunakan oven, gunakan suhu 150 darjah celcius selama 8-10 minit.


Bahan-bahannya inti:
  1. Sos cili
  2. Mayonise
  3. `hot dog'
  4. Oregano kering
  5.  keju/`cheese' (sebarang jenis)
*Tips :  
Jika nak senang kerja, boleh gunakan telur, tak perlu nak masukkan ubi kentang, nak rebus dulu, nak tunggu sejuk dan nak lenyek ubi tu buat banyak kerja je kan. Renyah sikit tapi resepi ni tapi Cik Mun tetap buat jugak demi memenuhi permintaan putera sulung Cik Mun yang alergik pada makanan yang gatal. Dan inilah hasilnya...

Pizza Ros
Nampak tak rupanya yang macam unga Ros. Ke Cik Mun je yang perasan sorang-sorang...?



Rabu, 6 November 2013

Sayur Masak Lemak Kunyit Cendawan Sisir Sama Pucuk Ubi dan Kentang

 Teringat zaman kanak-kanak dulu. Mak Cik Mun selalu masakkan kami sekeluarga kulat sisri yang dikutip dari batang pokok getah yang tumbang ataupun yang sengaja ditebang. Kami akan kutipnya dan jemur untuk bekalan bagi menjamin tak akan terputus bekalan kulat sisir ni. Kulat  yang Cik Mun masak ni dibeli dari Pasar Lenggong, Perak. Agak mahal mungkin kerana kesukaran untuk mendapatkannya sekarang ni. Yang Cik Mun tahu, kulat ni cerewet sikit kalau nak hidup. Resepi masakan dan bahan-bahannya seperti berikut:


Bahan-bahannya
  1. Secekak kulat sisir kering (Rendam seketika dan ramaskannya, buat 1-2 kali bagi membuang bau kayu)
  2. 1 biji kentang
  3. 1 cekak pucuk ubi
  4. 1 cawan santan
  5. 1 keping asam gelugur
  6. 2-3 biji cili padi (boleh tambah lagi jika mahu lebih pedas)*
  7. 2 biji Bawang merah*
  8. 1 biji Bawang putih*
  9. 1 batang serai* (hiiris nipis-nipis)
  10. 1/2 sudu teh belacan*
  11. 8-10 ekor ikan bilis*
  12. 2 biji cili kering*

Cara memasaknya:
  1. Dalm satu bekas, masukkan bahan tumbuk, kulat sisir, ubi kentang dan pucuk ubi. Tunggu hingga empuk.
  2. Masukkan santan dan garam secukupnya. Kacau selalu dan gunakan api kecil hingga mendidih.
  3. Sedia dihidangkan bersama ikan goreng dan sambal.
Saiz hidangan untuk 6 orang.




Close-up...Nyum nyum nyum...


Isnin, 4 November 2013

Markisa oh markisa!

Pokok markisa ni adalah pokok yang menjalar di tepi pondok buruk rumah Cik Mun
Tak sabar rasanya hati ni nak tunggu pokok ni berbuah. Teringat masa zaman sekolah rendah dulu, semasa dalam perjalanan  balik ke rumah, dapat cari buah markisa yang ditanam orang kampung. Tapi kena mintak dulu la...Untung dapat orang kampung yang baik hati, suka bersedekah. Sungguh tak malu muka Cik Mun dan kawan-kawan pada masa tu.